14 Jul 2012

Sayang...

Pengalaman berhadapan dengan pelajar-pelajar yang kurang bermotivasi untuk belajar amat memeningkan kepala. Membangunkan motivasi pelajar yang datang daripada  pelbagai latar belakang kehidupan memang mencabar golongan pendidik pada hari ini. Hal ini demikian kerana, persekitaran dan keluarga merupakan antara faktor terkuat membentuk keperibadian mereka. Bayangkan perasaan guru apabila melihat pelajar  tidur di dalam kelas ketika menerangkan pelajaran pada hari itu. Bukan pada hari itu sahaja, tetapi juga pada hari-hari lain. Bayangkan juga perasaan guru apabila memasuki kelas, hampir 25 peratus pelajar tidak hadir ke sekolah. Pelbagai alasan yang diberikan oleh pelajar. Sehingga muak guru mendengarkannya. Pelajar-pelajar lain sedang sibuk menyiapkan tugasan sementara sebahagian yang lain seolah-olah tidak menghiraukannya, Jika ditanya"Mana buku latihan?", Dengan wajah selambah jawapan yang diskripkan saban hari "Buku tertinggal di rumah". Huhhh. Jawapan yang menaikkan darah guru. Sungguh mencabar sebenarnya menjadi pendidik. Malahan ada yang akan menjawab guru "Tebalnya buku yang saya nak baca". "Banyaknya tulisan yang perlu di baca".

Periksalah beg-beg sekolah mereka, nipis. Tak berisi dengan buku. Jadual pembelajaran setiap hari akan diisi oleh empat hingga lima mata pelajaran. Hal ini bermaksud pelajar-pelajar akan membawa lima buah buku latihan, nota dan buku rujukan, buku teks ke sekolah mengikut mata pelajaran yang dijadualkan saban hari dalam seminggu. Apatah lagi untuk menulis, pen pun dipinjam daripada kawan. Pelajar-pelajar inikah sebagai gambaran pemimpin pada masa hadapan?

Kerja rumah yang diberikan oleh guru tidak disiapkan. Bagaimanakah guru membantu pelajar-pelajar ini?. Guru tidak dapat mengesan aspek kelemahan pelajar dalam satu-satu topik jika respon pelajar terhadap pelajaran sangat negatif. Kehadiran ke sekolah hanya sebagai satu pelarian daripada dimarahi oleh ibu bapa, atau sebagai ikut-ikutan kawan.Kasihan...

Mampukan mereka melalui kehidupan dan memikul tanggungjawab pada masa hadapan yang sangat mencabar???

Mungkin gambaran ini hanya dilalui oleh segelintir sekolah. Hal ini akan menjadi kudis yang tidak dapat diubati jika tidak ditangani dengan sebaik mungkin. Kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan agar masalah terpencil ini dapat diatasi dengan sebaik-baiknya demi masa depan agama, keluarga, bangsa dan negara.