11 Mac 2012

Pelajar dan telefon bimbit

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Apa sudah jadi dengan surat pekeliling Kementerian Pelajaran mengenai larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah?

Hasil siasatan wartawan Unit Khas Utusan Malaysia di beberapa sekolah di sekitar ibu negara baru-baru ini jelas menunjukkan pekeliling yang kembali dikuatkuasakan pada Mac 2009 itu, tidak dipedulikan oleh para pelajar.

Rata-rata pelajar yang ditemui memberitahu, mereka sebenarnya membawa telefon bimbit ke sekolah secara curi-curi.

Pada masa yang sama, mereka mengakui bebas melakukan apa saja menggunakan alat telekomunikasi tersebut di dalam kawasan sekolah.

Alasannya, telefon bimbit penting untuk menghubungi ibu bapa apabila perlu atau jika berlaku sebarang kecemasan.

Namun apabila ditanya lebih lanjut, mereka menyatakan, tujuan sebenar membawa telefon bimbit ke sekolah adalah untuk berhubung bersama rakan-rakan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan jarang sekali menggunakannya untuk menghubungi ibu bapa.

Selain itu, mereka menggunakan alat telekomunikasi tersebut untuk mendengar lagu yang telah dimuat turun ketika di dalam kelas atau pada masa terluang.

Paling menyedihkan, mereka turut mendedahkan bahawa ada dalam kalangan rakan-rakan tidak kira lelaki mahupun perempuan yang menyimpan dan memuat turun gambar atau klip video lucah.

Agak mengejutkan apabila mendapati daripada segi perbelanjaan, mereka menghabiskan kira-kira RM10 ke RM40 sebulan yang diberi oleh ibu bapa bagi tujuan isian semula kredit.
Dalam masa sama, kes kecurian telefon bimbit juga kerap berlaku kerana ada antara mereka memiliki telefon yang canggih dan mahal seperti BlackBerry dan iPhone.

Hakikatnya, tindakan kementerian mengeluarkan larangan tersebut ialah bagi menyekat peningkatan kes-kes disiplin dalam kalangan pelajar.

Tambah mengejutkan, rata-rata mereka mengakui tidak boleh hidup tanpa telefon bimbit.
‘Ketaksuban’ mereka terhadap alat ini sehinggakan mereka lebih rela tertinggal buku sekolah daripada telefon bimbit.


Malangnya, setelah hampir dua tahun peraturan itu dikuatkuasakan, masalah penyalahgunaan telefon bimbit masih terus diperkatakan dan berleluasa dalam kalangan pelajar.

Dalam hal ini, siapa yang harus dipersalahkan? Pihak sekolah atau ibu bapa? Atau mungkinkah perkara ini berlaku didorong oleh sikap pelajar sendiri yang sememangnya degil?

Sumber: http://www.utusan.com.my/