17 Jan 2013

Cg. Mahtar Awang Besar, Jasamu dikenang...


35 tahun berada di Ranau Sabah, tibalah pula masa pada tahun 2013 ini, Cikgu Mahtar Awang Besar berpindah ke daerah asal  di Baling Kedah. Beliau akan mulakan tugasnya di sekolah baharu iaitu SMK Baling pada minggu hadapan. Cikgu Mahtar merupakan salah seorang kumpulan pendidik senior yang berasal dari Semenanjung yang ditugaskan ke daerah ini.  Beliau memulakan tugas sebagai guru di  SMK Datu Paduka Mat Salleh  Ranau, Sabah pada tahun 1977.  Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah menengah yang ada di daerah Ranau, pada ketika itu.

Menyorot ucapan beliau, sempena  majlis perpisahan yang diadakan di dewan SMK Ranau semalam pada    15 Januari 2013, beliau menyaksikan perubahan di daerah ini, dari semua aspek terutama pembangunan ekonomi, infrastruktur dan pendidikan. Sebagai contoh, pada  ketika itu hanya ada sebuah sekolah menengah sahaja berbanding kini, 11 buah sekolah menengah. Banyak  pengalaman dan kenangan yang ditimba semasa berada di daerah ini.

Menyingkap kenangan ketika beliau mula-mula datang ke Ranau untuk melapor  diri 35 tahun yang lalu. Setibanya  di Kota Kinabalu, beliau  dinasihatkan agar ke Pekan Tamparuli untuk mendapatkan van ke Ranau. Pada ketika itu, hanya ada sebuah van sewa sahaja antara Tamparuli- Ranau. Van akan bertolak sekitar jam 11.00 pagi. Pemandu van menasihati agar beliau makan terlebih dahulu, perjalanan memakan masa selama dua jam tiga puluh minit sehingga tiga jam. Hujan turun apabila van mula bergerak. Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba semua penumpang diminta untuk turun dari van lalu berjalan kaki sehingga ke kemuncak bukit.

Perasaan  hairan dan ingin tahu membuak-buak. Beliau tidak memahami arahan pemandu kerana dituturkan dalam Bahasa Dusun.Dengan rasa ragu-ragu , beliau cuba bertanya kepada salah seorang penumpang. Rupa-rupanya keadaan jalan raya yang licin kerana  belum berturap menyebabkan van tidak boleh melalui jalan raya yang cerum. Perjalanan Ranau-Tamparuli merentasi Banjaran Croker. Apabila van sampai di kemuncak bukit, barulah semua penumpang menaiki semula van berkenaan dan meneruskan perjalanan ke Pekan Ranau. Walau telah lama berlalu, kenangan itu merupakan kenangan pertama yang tidak akan dilupakan. Kini, Ranau telah jauh berubah bersama arus pembangunan.

Kalau ada sumur di ladang,
                 Boleh kami menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
        Boleh kita berjumpa lagi.

Pisang emas dibawa belayar,
      Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh bayar,
        Hutang budi di bawa mati.

Kalau ada jarum yang patah,
                Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
                 Jangan disimpan di dalam hati.

Kami warga SMKR mendoakan agar Cikgu Mahtar sihat, panjang umur dan murah rezeki. Semoga hubungan kedua-dua buah sekolah akan terjalin erat. Ponsikao kio igu...