27 Sep 2012

Puding Roti


Beberapa hari ini saya sangat suka menyediakan resepi puding roti. Sedappppp. Kebetulan antara pencuci mulut yang saya gemari.

Puding roti, sangat berpuas
hati dengan hasilnya








Ini pula puding kentang
Kalau nak buat, ini bahan dan caranya.
Bahan A
1 peket agar-agar tali (banyak), kalau isi sedikit guna setengah daripada bahan yang diberi)
5 cawan air
Bahan B
1 bungkus roti (dibuang bahagian tepi yang berwarna coklat-untuk mengelakkan adunan rasanya pahit)
2 tin susu cair
2 sudu makan minyak sapi/3 keping chesse/2 sudu chesse-boleh pilih satu bahan atau gabungan 2 bahan atau gabungakan semuapun boleh-ikut cita rasa
5-7 sudu makan gula pasir(ikut suka)-boleh juga diganti dengan susu manis.
Bahan C
1 sudu teh asen vanila
pewarna (kalau suka)

Cara nak memasak
1    Masak bahan A dalam periuk sehingga cair apabila cair masukkan gula pasir -ikut rasa sendiri
2    Kisarkan bahan B,kemudian masukkan dalam periuk yang ada agar-agar yang telah direbus.
3    Kacau sebentar.
4    Masukkan bahan C.
5    Tuangkan adunan ke dalam bekas, biarkan sejuk barulah dipotong ikut bentuk yang dikehendaki.

Jika ingin membuat lapisan, bahagikan adunan kepada beberapa bekas, mengikut jumlah warna yang diinginkan. Tuangkan lapisan pertama, Apabila adunan telah sejuk  , lorekkan permukaan atas adunan dengan garfu agar lapisan seterusnya boleh bercantum rapat.Kemudian tuang lapisan kedua. ulang langkah melapis sebelum ini untuk lapisan seterusnya. Jika adunan selebihnya mengeras, bolehlah dipanaskan semula dengan api perlahan dan digaul agar adunan tidak hangus. Selamat mencuba!!!!


20 Sep 2012

Semoga berjaya calon-calon PMR 2012 SMKR...

Walaupun dalam waktu yang agak singkat masa yang diberi oleh penganjur untuk mengendalikan slot ini, namun dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa, pelajar-pelajar tingkatan 3, dan guru-guru, slot motivasi yang dikendalikan memberi sedikit peluang kepada semua pihak khususnya ibu bapa dan pelajar saling meluahkan rasa sayang dan kemaafan atas kelemahan diri. Ya, sebagai manusia kesalahan dan kesilapan buat pengajaran dan panduan dalam menongkah arus kehidupan.

Terima kasih yang tidak terhingga atas kehadiran ibu bapa dan kerjasama sepanjang slot ini dijalankan.
Tidak lain dan tidak bukan, harapan serta doa ibu bapa, dan guru-guru agar pelajar-pelajar PMR SMKR 2012 berjaya dengan cemerlang.

Kami anak-anakmu
Ingin memohon restu


Wajah-wajah ceria bersama harapan yang menggunung
Kasihnya ibu membawa ke syurga
kasihnya ayahanda sepanjang masa...

Kasih sayang dan doa ibu seiring dengan harapan 
Setiap detik akan menjadi kenangan

Hati Di Taman Berbunga
Satu Impian Satu Harapan


Wahai ibuku wahai ayahku
Redhakan akan diriku



Ampunkan segala keterlanjuranku
Halalkan makan minumku
Doakan semoga aku selamat
Dunia dan di akhirat

kuingin kotakan seribu janji sepanjang kedewasaan ini

kuingin sampaikan pesanan
Kamilah penyambung warisan...
Mudah-mudahan semua calon PMR 2012 , beroleh kejayaan yang cemerlang.




14 Sep 2012

Sinar harapan...

Pejam celik, pejam celik kini sudah berada pada pertengahan bulan September. Kadang Cg Enn mengeleng-gelangkan kepala dengan gelagat dan pencapaian pelajar-pelajar di kelas 4 Cahaya. Kadang Cg Enn rasa terharu. Ada waktunya dia rasa mati motivasi. Sesekali hanya keluhan berat yang terluah. Entah, bagaimana dengan pelajar-pelajar ini. Matanya tajam merenung markah-markah yang berbaris merah tercatat dalam buku rekodnya. Apa yang tak kena dengan mereka, bagaimana nak mendekati mereka. Fikir Cg. Enn. Huhhh berat sangat tanggungjawab ini. Bukan calang-calang pelajar-pelajar yang dihadapinya. Masalah ponteng sekolah dan masalah pelajar tidak bermotivasi sangat mengganggu pencapaian pelajar-pelajarnya. 

" Eri, kenapa awak sudah lama tidak datang ke sekolah?" tanya Cg. Enn, pada awal tahun persekolahan. Setelah enam hari Eri tidak hadir ke sekolah. " Sa sa sayaa tangkap ikan haruan di sawah cg", jawab Eri dengan suara yang agak perlahan. Agak terkejut Cg. Enn mendengarkannya. "Mengapa awak tangkap ikan haruan? tanya Cg Enn untuk mendapatkan kepastian. "Mau dijual cg, buat belanja sekolah". Jawapan itu membuatkan Cg. Enn bertambah terkejut namun itulah realiti kehidupan pelajar-pelajar di kelas itu. Meskipun berkeinginan untuk ke sekolah, masalah kewangan, menjadikan mereka akur dengan keadaan hidup. 

Mengubah cara kehidupan mereka yang telah dirantai umpama peribahasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menjadi cabaran kepada Cg. Enn.Kesedaran akan kepentingan pelajaran perlu diberi keutamaan kepada ibu bapa dan pelajar. Cara mengajar juga perlu diubah. Fikir Cg. Enn. Berjayakah aku???. Persoalan itu berulang-ulang dimindanya dengan semangat yang membara untuk merubah nasib pelajar-pelajar di 4 Cahaya.




12 Sep 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) dari 2013-2025.




Sekali lagi sejarah pendidikan negara akan mengalami lonjakan pembaharuan seiring dengan arus pendidikan global. Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 telah dilancarkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut. Terdahulu laporan berkenaan dibentang oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,Sebagai gantian kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang dilancarkan oleh YAB Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007.

Y.A.B Tan Sri Muhyiddin menjelaskan bahawa semasa pembentangan pelan PPP dirangka menerusi jelajah dialog di seluruh negara sebanyak 7,039 syor diterima dan 12,000 peserta ambil bahagian. Selain itu sebanyak 156 memorendum diterima dari pelbagai individu dan pertubuhan.

Y.A.B Tan Sri Muhyiddin juga menyifatkan  PPP ialah satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan harapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

Menurut beliau pelan itu sasarkan enam aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi-bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Pelan ini berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan ini telah dilakukan dengan amat teliti dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal. Selain itu, Kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana, termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.

2. Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:
Kementerian akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan akan mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia pula, Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai:
Bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan murid dalam usaha membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.

4. Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:
Kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam sistem, Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada Gred DG44 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun.

5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:
Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (Si-Partners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis akan dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013 sementara perlaksanaan di seluruh negara bermula Januari 2014.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk perlaksanaan pembelajaran secara interaktif.

8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:
Struktur organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.

9. Memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta
Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS)untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai penganjur.
  
10. Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun, Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
  
11. Meningkatkan Ketelusan akauntabiliti awam:
Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian.  Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai 2013.
  
Kesimpulan:
Sekiranya semua 11 anjakan dalam pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang, Malaysia akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada sistem yang berfokuskan akses, kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti. Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu perlaksanaan pelan ini.