7 Dis 2012

Penghargaan Akademik Pelajar

Tradisi semua sekolah untuk menjadikan Majlis Anugerah Cemerlang sebagai menghargai kecemerlangann pelajar dalam bidang akademik . Pelbagai nilai murni yang boleh digarap melaluinya. Majlis ini boleh menjadi motivasi pelajar-pelajar lain agar mereka tahu bahawa guru-guru dan ibu bapa sangat menghargai penat lelah mereka belajar. Dari sudut lain majlis ini boleh menggambarkan kewibawaan kepimpinan mengendalikan majlis ini berjalan dengan lancar. Oleh itu, perancangan awal amat penting selain mengambil dari aspek kos, masa dan tenaga,buah fikiran.
Ketibaan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Sabah, Tuan Raisin Saidin.


Bapa pelajar mengiringi anak yang cemerlang

gambar kenangan bersama perasmi majlis

gutu-guru menanti kehadiran perasmi




antara pelajar yang cemerlang 2012

penari-penari sekolah bersedia menunggu ketibaan perasmi


Pengarah MAC En. Haiten Yusuf

6 Dis 2012

Rukun Negara

Iklan Rukun Negara yang disiarkan di televisyen memaparkan watak-watak kecil yang mewakili kepelbagaian kaum  di negara kita, memyampaikan mesej Rukun Negara mengikut acuan umur mereka. Sangat menghiburkan, di samping memberi mesej yang sangat jelas demi keamanan dan kesejahteraan seluruh warga Malaysia. 

Semasa saya bersekolah dahulu, prinsip-prinsip Rukun Negara dicetak pada belakang kulit buku latihan.  Bahan bacaan yang kurang menyebabkan saya  hafal semua tulisan yang tercetak. Malahan pada waktu perhimpunan, bergemalah lafaz ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh ketua murid. Ada juga guru-guru saya yang mendenda pelajar dengan membaca ikrar ini sehingga 10,20,30 kali bacaan,sewaktu pnp. Mana tidaknya kami semua hafal setiap patah perkataan yang terdapat dalam teks tersebut. 

Sebagai warga Malaysia kita sepatutnya tahu apa itu Rukun Negara, sejarah Rukun Negera diperkenalkan serta matlamatnya diperkenalkan.


Sebelum Rukun Negara diperkenalkan, telah berlaku rusuhan antara kaum pada 13 Mei 1969. Ketenteraman negara telah terjejas akibat kejadian itu. MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) telah mengambil alih pentadbiran negara. MAGERAN telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MPN) untuk membincangkan dan menilai isu perpaduan Negara. MPN telah memperkenalkan ideologi negara iaitu Rukun Negara.

Prinsip Rukun Negara
  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan
 Matlamat Rukun negara ialah untuk
§  mengukuhkan perpaduan.
§  memelihara corak hidup demokratik.
§  mencipta sebuah masyarakat yang adil.
§  menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai.
§  membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi.

PENJELASAN PRINSIP RUKUN NEGARA:
Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alas an agama adalah dilarang sama sekali.

Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambing perpaduan rakyat.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankankeluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semu pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak social rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.

Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Semoga, kita dapat mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta ini.

5 Dis 2012

Adat Dunia Pekerjaan

Telah tiba masanya dua orang rakan sekerja pada tahun 2012 ini berpindah ke sekolah baharu. Mereka ialah En. Clement Mansin dan Cik Myrna Peter. Hidup bagaikan pusingan roda. SMKR sekolah pertama mereka. Di sinilah mereka menimba segala pengalaman. Kini, tiba masanya untuk berubah suasana. Yang paling istimewanya, Myrna memanggil saya dengan gelaran "Cikgu" ketika dia berada di tahun 4 SK Pekan Ranau. Setelah menamatkan pengajian, sekali lagi Myrna memanggil saya dengan gelaran "Cikgu" kerana menjadi pelajar di SMKDPMSR, tempat saya bertugas. Apabila saya berpindah ke sekolah baharu saya memanggilnya dengan sebutan "Cikgu Myrna". Dia tetap memanggil saya dengan sebutan yang sama seperti dahulu. Kini, kami menjadi rakan sekerja . Tak sangka dah lama pula saya bertugas. Apa-apapun saya ucapan kalian berdua semoga sukses di tempat baharu.
Sedihhhnya Cg.Myrna sewaktu menyampaikan
ucapan di majlis ringkas yang dianjurkan oleh
Bidang Sains dan Matematik.

Cg. Clement Mansin, selalu diberi mandat sebagai
jurugambar untuk acara rasmi sekolah.

Tuan Pengetua menyampaikan cendera kenangan 

Bersama guru-guru Bidang Sains dan Matematik
Semoga perjalanan kerjaya yang masih jauh, dapat dilalui dengan ketabahan, kesabaran demi anak-anak bangsa kita.

PPD Ranau."Ranau No.1"

Sambil berfikir-fikir bahan yang ingin ditulis, tiba-tiba saya terlihat beberapa keping gambar yang belum disiarkan lagi. Melihat gambar ini saya terfikir akan kesungguhan kepimpinan  PPD Ranau yang diketuai oleh En. Rusining Rusidi. Memang tidak dapat dinafikan kesungguhan beliau bekerja. Kepimpinan yang mantap disertai dengan visi dan misi yang jelas menyebabkan sesiapa sahaja suka bekerja . Beliau selalu turun padang untuk melihat program-program yang dianjur sebagai sokongan kepada sekolah-sekolah di daerah Ranau.

En. Rusing Rusidi PPD Ranau.
Beliau amat prihatin dengan masalah pelajar.
Kehadiran beliau sewaktu pihak sekolah mengadakan
Program Lonjakan Saujana untuk pelajar-pelajar SPM 2012

Antara ibu pelajar yang hadir dalam program tersebut.

Program ini khas untuk kelas 5 Zuhal,2012.

Pelajar-pelajar 5 Zuhal berada di bilik mesyuarat.
Semoga kepimpinan yang mantap ini akan dapat menjana kecemerlangan  pendidikan anak-anak bangsa di daerah kelahiran beliau sendiri.

19 Nov 2012

Terima kasih Ponsikao

Lama saya merayau-rayau menginternet mencari-cari idea untuk menulis. Sebenarnya banyak bahan yang ingin dikongsikan. Namun rasanya perlukan masa untuk meluahkannya. Petang tadi , saya amat bersyukur akan kehadiran dua orang rakan yang pernah saya kenali satu waktu dulu. Saya bersyukur dengan kehadiran  mereka berdua yang datang dari Serdang. Namun saya sayu apabila mengetahui rakan yang seorang itu, sedang menghadapi kanser. Sekembalinya ke Serdang, Kak Y akan menjalani rawatan kimo. Sebenarnya, rawatan ini buat kali kedua. Rawatan pertama telah berjaya melemahkan serangan virus itu. Namun, kini serangan kedua telah bermula. Walau bagaimanapun saya amat kagum dengan semangat beliau. Beliau seorang yang tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan ini. Arghh. Hanya keluhan berat yang mampu terluah dari dada ini. Selain sekelumit doa agar Kak Y, mampu bertahan, tabah menerima ujian ini dan semoga diberikan laluan yang mudah untuk menghadapi ujian ini.



Kak Y, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas layanan sewaktu saya berada di sana. Biarpun hanya dua hari bersama, budi baik yang dicurahkan akan tetap saya kenang sampai bila-bila. Buat Ida, kunjungan ketiga ke teratak saya, diharapkan akan berterusan. Semoga ikatan persahabatan ini akan kekal sampai ke hujung nyawa.

10 Nov 2012

5 Zuhrah Selamat Menduduki SPM

Buat pelajar-pelajar SPM SMKR , jawablah dengan tenang, gunakan semua ilmu yang diperoleh, untuk menjawab soalan. Buat pelajar-pelajar 5 Zuhrah, semoga kalian beroleh kejayaan yang cemerlang.
Kelas 5 Zuhrah 2012 bersama guru kelas Pn.Orine Dusun.

15 Okt 2012

Jom Masak Puding Roti

Hari ini buat demo masak puding roti pulak. Beberapa kumpulan mengikutinya. Amboi.. semangat betul.
Cg. Sahajisa, Cg Antonia dan Cg Sujaihah memotong roti dan
mencarik-carikkan  roti.
Ini pula cg. Orine,Cg.Wishelliah dan Cg.Anniah
memasukan adunan roti yang telah dikisar ke dalam
periuk bersama agar-agar yang telah direbus.
Untuk membuat lapisan kedua permukaan agar-agar
perlu dilorekkan

Dengan meletakan gelas secara terbalik di bahagian tengah loyang,
tuangkan adunan berwarna ke atas permukaan cawan perlahan- lahan.

Hasilnya seperti ini atau...
Seperti ini. Cantik!
Inilah puding-puding yang dihasillkan tadi. Esok baru makan.
Diharap dengan perkongsian ilmu ini, akan memudahkan guru-guru wanita SMKR, menyediakan juadah pencuci mulut yang lazat-lazat buat  keluarga. Selamat Mencuba...

10 Okt 2012

LDP GURU-GURU BIDANG BAHASA

Bidang Bahasa SMKR mengadakan LDP kepada guru-guru Bidang bahasa. pada 9 Oktober-11 Oktober. LDP ini diadakan di bilik APD SMKR. Antara pengisian LDP ialah slot motivasi, pembentangan kajian tindakan dan bengkel RPT 2013 bagi semua mata pelajaran di bawah bidang bahasa.

Antara peserta LDP


Tengok tu, buku kecil yang dhasilkan daripada  bengkel.
Buku kecil  ini boleh digunakan untuk semua mata pelajaran

Pn. Vanessa, antara jurulatih,
membimbing guru-guru menyiapkan
buku kecil 
Pn. Silis Tina, Pn.Waini dan Pn.Lusiah,menyiapkan
tugasan dalam buku kecil.
Antara karya yang dihasilkan dalam buku kecil

Ini pula, aktiviti Bahasa Inggeris
 Diharapkan ilmu yang ditimba, dapat membantu guru-guru meningkatkan kualiti  kaedah dan teknik pnp.

27 Sep 2012

Puding Roti


Beberapa hari ini saya sangat suka menyediakan resepi puding roti. Sedappppp. Kebetulan antara pencuci mulut yang saya gemari.

Puding roti, sangat berpuas
hati dengan hasilnya








Ini pula puding kentang
Kalau nak buat, ini bahan dan caranya.
Bahan A
1 peket agar-agar tali (banyak), kalau isi sedikit guna setengah daripada bahan yang diberi)
5 cawan air
Bahan B
1 bungkus roti (dibuang bahagian tepi yang berwarna coklat-untuk mengelakkan adunan rasanya pahit)
2 tin susu cair
2 sudu makan minyak sapi/3 keping chesse/2 sudu chesse-boleh pilih satu bahan atau gabungan 2 bahan atau gabungakan semuapun boleh-ikut cita rasa
5-7 sudu makan gula pasir(ikut suka)-boleh juga diganti dengan susu manis.
Bahan C
1 sudu teh asen vanila
pewarna (kalau suka)

Cara nak memasak
1    Masak bahan A dalam periuk sehingga cair apabila cair masukkan gula pasir -ikut rasa sendiri
2    Kisarkan bahan B,kemudian masukkan dalam periuk yang ada agar-agar yang telah direbus.
3    Kacau sebentar.
4    Masukkan bahan C.
5    Tuangkan adunan ke dalam bekas, biarkan sejuk barulah dipotong ikut bentuk yang dikehendaki.

Jika ingin membuat lapisan, bahagikan adunan kepada beberapa bekas, mengikut jumlah warna yang diinginkan. Tuangkan lapisan pertama, Apabila adunan telah sejuk  , lorekkan permukaan atas adunan dengan garfu agar lapisan seterusnya boleh bercantum rapat.Kemudian tuang lapisan kedua. ulang langkah melapis sebelum ini untuk lapisan seterusnya. Jika adunan selebihnya mengeras, bolehlah dipanaskan semula dengan api perlahan dan digaul agar adunan tidak hangus. Selamat mencuba!!!!


20 Sep 2012

Semoga berjaya calon-calon PMR 2012 SMKR...

Walaupun dalam waktu yang agak singkat masa yang diberi oleh penganjur untuk mengendalikan slot ini, namun dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa, pelajar-pelajar tingkatan 3, dan guru-guru, slot motivasi yang dikendalikan memberi sedikit peluang kepada semua pihak khususnya ibu bapa dan pelajar saling meluahkan rasa sayang dan kemaafan atas kelemahan diri. Ya, sebagai manusia kesalahan dan kesilapan buat pengajaran dan panduan dalam menongkah arus kehidupan.

Terima kasih yang tidak terhingga atas kehadiran ibu bapa dan kerjasama sepanjang slot ini dijalankan.
Tidak lain dan tidak bukan, harapan serta doa ibu bapa, dan guru-guru agar pelajar-pelajar PMR SMKR 2012 berjaya dengan cemerlang.

Kami anak-anakmu
Ingin memohon restu


Wajah-wajah ceria bersama harapan yang menggunung
Kasihnya ibu membawa ke syurga
kasihnya ayahanda sepanjang masa...

Kasih sayang dan doa ibu seiring dengan harapan 
Setiap detik akan menjadi kenangan

Hati Di Taman Berbunga
Satu Impian Satu Harapan


Wahai ibuku wahai ayahku
Redhakan akan diriku



Ampunkan segala keterlanjuranku
Halalkan makan minumku
Doakan semoga aku selamat
Dunia dan di akhirat

kuingin kotakan seribu janji sepanjang kedewasaan ini

kuingin sampaikan pesanan
Kamilah penyambung warisan...
Mudah-mudahan semua calon PMR 2012 , beroleh kejayaan yang cemerlang.




14 Sep 2012

Sinar harapan...

Pejam celik, pejam celik kini sudah berada pada pertengahan bulan September. Kadang Cg Enn mengeleng-gelangkan kepala dengan gelagat dan pencapaian pelajar-pelajar di kelas 4 Cahaya. Kadang Cg Enn rasa terharu. Ada waktunya dia rasa mati motivasi. Sesekali hanya keluhan berat yang terluah. Entah, bagaimana dengan pelajar-pelajar ini. Matanya tajam merenung markah-markah yang berbaris merah tercatat dalam buku rekodnya. Apa yang tak kena dengan mereka, bagaimana nak mendekati mereka. Fikir Cg. Enn. Huhhh berat sangat tanggungjawab ini. Bukan calang-calang pelajar-pelajar yang dihadapinya. Masalah ponteng sekolah dan masalah pelajar tidak bermotivasi sangat mengganggu pencapaian pelajar-pelajarnya. 

" Eri, kenapa awak sudah lama tidak datang ke sekolah?" tanya Cg. Enn, pada awal tahun persekolahan. Setelah enam hari Eri tidak hadir ke sekolah. " Sa sa sayaa tangkap ikan haruan di sawah cg", jawab Eri dengan suara yang agak perlahan. Agak terkejut Cg. Enn mendengarkannya. "Mengapa awak tangkap ikan haruan? tanya Cg Enn untuk mendapatkan kepastian. "Mau dijual cg, buat belanja sekolah". Jawapan itu membuatkan Cg. Enn bertambah terkejut namun itulah realiti kehidupan pelajar-pelajar di kelas itu. Meskipun berkeinginan untuk ke sekolah, masalah kewangan, menjadikan mereka akur dengan keadaan hidup. 

Mengubah cara kehidupan mereka yang telah dirantai umpama peribahasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menjadi cabaran kepada Cg. Enn.Kesedaran akan kepentingan pelajaran perlu diberi keutamaan kepada ibu bapa dan pelajar. Cara mengajar juga perlu diubah. Fikir Cg. Enn. Berjayakah aku???. Persoalan itu berulang-ulang dimindanya dengan semangat yang membara untuk merubah nasib pelajar-pelajar di 4 Cahaya.




12 Sep 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) dari 2013-2025.




Sekali lagi sejarah pendidikan negara akan mengalami lonjakan pembaharuan seiring dengan arus pendidikan global. Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 telah dilancarkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut. Terdahulu laporan berkenaan dibentang oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,Sebagai gantian kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang dilancarkan oleh YAB Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007.

Y.A.B Tan Sri Muhyiddin menjelaskan bahawa semasa pembentangan pelan PPP dirangka menerusi jelajah dialog di seluruh negara sebanyak 7,039 syor diterima dan 12,000 peserta ambil bahagian. Selain itu sebanyak 156 memorendum diterima dari pelbagai individu dan pertubuhan.

Y.A.B Tan Sri Muhyiddin juga menyifatkan  PPP ialah satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan harapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

Menurut beliau pelan itu sasarkan enam aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi-bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Pelan ini berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan ini telah dilakukan dengan amat teliti dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal. Selain itu, Kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana, termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.

2. Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:
Kementerian akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan akan mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia pula, Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai:
Bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan murid dalam usaha membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.

4. Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:
Kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam sistem, Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada Gred DG44 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun.

5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:
Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (Si-Partners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis akan dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013 sementara perlaksanaan di seluruh negara bermula Januari 2014.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk perlaksanaan pembelajaran secara interaktif.

8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:
Struktur organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.

9. Memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta
Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS)untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai penganjur.
  
10. Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun, Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
  
11. Meningkatkan Ketelusan akauntabiliti awam:
Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian.  Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai 2013.
  
Kesimpulan:
Sekiranya semua 11 anjakan dalam pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang, Malaysia akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada sistem yang berfokuskan akses, kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti. Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu perlaksanaan pelan ini.