30 Dis 2011

Persediaan dan Perancangan 2012



Setelah  berehat, tidak termasuk guru-guru besar dan pengetua-pengetua(cuti mereka bergantung kepada cuti tahunan) warga pendidik pada waktu ini sedang sibuk untuk menyediakan persiapan untuk memulakan tugas bagi tahun 2012. Bukan sahaja sibuk menyediakan persiapan anak-anak ke sekolah bagi yang telah mempunyai anak, tetapi sibuk juga untuk anak-anak didik…begitulah tugas seorang guru, adakalanya terpaksa mengutamakan keperluan anak orang daripada anak sendiri…

Pihak yang paling sibuk sebelum memulakan sesi persekolahan ialah pihak pengurusan dan pentadbiran, pihak inilah yang menjadi perancang utama, memandu semua kakitangan agar menuju destinasi yang dikehendaki. Agihan tugas guru-guru, disesuaikan dengan peratusan SKT selain melihat kebolehan dan keupayaan, pengalaman guru-guru dalam bidang masing-masing. Seboleh yang mungkin guru-guru akan diberikan tugas yang sama rata.

Oleh hal yang demikian, banyak sekolah sudahpun memulakan mesyuarat persediaan sesi persekolahan 2012 ini. pembahagian buku rekod mengajar, edaran takwim sekolah. Perancangan sekolah sepanjang tahun sesi persekolahan sudah diketahui oleh warga pendidik di sekolah masing-masing. Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dirancang mengikut kesesuaian takwim sekolah.

Kelemahan dan kekuatan setiap program yang dilaksanakan pada tahun 2011, menjadi panduan untuk bekerja. Semangat untuk memulakan tugas berkobar-kobar. Semoga semangat itu berterusan sehingga ke penghujung tahun malah sehingga ke penghujung perkhidmatan. Mudah-mudahan semangat warga pendidik tidak seperti kain bendera yang gagah berkibar pada awalnya, tetapi semakin pudar warna, lusu dan koyak rabak dek cuaca dan tiupan angin saban hari.


Kepada Seluruh Warga Pendidik,  Saya Mengucapkan
“Selamat Tahun Baru 2012 dan Selamat Bertugas”