Mendidik bukannya tugas yang mudah. Pelajar ialah manusia yang datang dari latar belakang budaya dan adat yang berbeza. Justeru, akan timbullah kepelbagaian ragam ketika berhadapan dengan mereka. Ada pelajar yang suka dengan mata pelajarannya, ada juga yang suka, mata pelajaran tersebut kerana gurunya.
Guru pula diamanahkan untuk mendidik mereka ke satu matlamat yang sama iaitu menjadikan pelajar manusia yang berjaya dan berguna kepada ibu bapa, masyarakat, bangsa dan negara. Sesetengah ibu bapa mengharapkan anak-anak akan menjadi doktor,peguam, jurutera, saintis, angkasawan, guru malah pelbagai kerja yang difikirkan baik demi masa depan anak-anak. Sesetengahnya pula masih ada yang berpesan kepada guru,"ajarilah anak saya agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara".
Dalam situasi seperti ini, guru memerlukan kesabaran, kemahiran, kepakaran yang dibina daripada pengalaman bertugas agar amanah yang dipertanggungjawabkan dapat digalas sebaik-baik.Di sinilah kewibawaan guru akan teruji. Guru sebagai arkitek minda, sosial, emosi dan jasmani pelajar harus bijak bagi memenuhi kehendak pelbagai pihak. Bak kata peribahasa bagai menarik rambut dalam tepung.
Tanggungjawab guru semakin mencabar. Namun, sejauhmanakah penghargaan masyarakat terhadap tugas guru. Tanpa adanya guru bagaimanakah nasib bangsa dan kesinambungan tamadun kita pada masa hadapan?
Tahniah dan syabas kepada guru-guru yang telah berkhidmat dengan cemerlang demi masa depan anak-anak bangsa kita. Jasa baik warga pendidik sekalian pasti akan dikenang biarpun telah bersara. Satu waktu sama ada cikgu berada di pasar ikan, di pasar raya, di pejabat pos, atau di mana-mana sahaja pasti guru-guru akan terdengar antara sapaan "Hai cikgu", "Apa khabar cikgu", "Saya rindu cikgu", "mama tu cikgu adik..."atau "Terima kasih cikgu" ,